Peperiksaan di Malaysia seringkali gagal berfungsi mencetuskan suasana tegang dan tertekan seperti yang sepatutnya. Berpunca dari gaya ‘Tidak Mahu Tahu’ atau ‘Buat-buat Tak Nampak’ si pengawas peperiksaan, maka si culas pun memulakan agenda kotornya, menguis perhatian sahabat berhampiran untuk memohon bantuan jawapan.
Maka sahabat yang kononnya ‘Baik Hati’ itu pun mengunjurkan atau meninggikan sedikit kertas jawapannya, memberi isyarat badan sekiranya perlu untuk menyampaikan bantuan yang di pinta sahabatnya yang kurang bernasib baik tadi.
Bila keputusan diumumkan, berbahagialah para peniru dengan tuaian hasil kerja jijiknya itu. Tidak perlu bersungguh dalam belajar, kerana peperiksaan bukanlah suatu masalah untuk di hadapi. Malah berbangga dengan usaha tersebut, di canangnya kejayaan itu dengan rasa tidak tahu malu di hadapan orang. Trofi, sijil, wang atau apa saja yang dimiliki hasil dari kejayaan meniru di gantung, di pertonton kepada umum. Lumrah akhir zaman. Berbangga dengan kesilapan, malu dengan kebenaran.