Hold

"..dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan. ." .." (2:191)

November 19, 2011

Ada 'Bran' Ka ? part 1


Peperiksaan di Malaysia seringkali gagal berfungsi mencetuskan suasana tegang dan tertekan seperti yang sepatutnya. Berpunca dari gaya ‘Tidak Mahu Tahu’ atau ‘Buat-buat Tak Nampak’ si pengawas peperiksaan, maka si culas pun memulakan agenda kotornya, menguis perhatian sahabat berhampiran untuk memohon bantuan jawapan.

Maka sahabat yang kononnya ‘Baik Hati’ itu pun mengunjurkan atau meninggikan sedikit kertas jawapannya, memberi isyarat badan sekiranya perlu untuk menyampaikan bantuan yang di pinta sahabatnya yang kurang bernasib baik tadi.

Bila keputusan diumumkan, berbahagialah para peniru dengan tuaian hasil kerja jijiknya itu. Tidak perlu bersungguh dalam belajar, kerana peperiksaan bukanlah suatu masalah untuk di hadapi. Malah berbangga dengan usaha tersebut, di canangnya kejayaan itu dengan rasa tidak tahu malu di hadapan orang. Trofi, sijil, wang atau apa saja yang dimiliki hasil dari kejayaan meniru di gantung, di pertonton kepada umum. Lumrah akhir zaman. Berbangga dengan kesilapan, malu dengan kebenaran.

Buat Si na'if yang tidak meniru, mendapatkan markah yang teruk sehingga hampir menghumban masa depannya ke jurang hitam fikiran manusia. Melihatkan sahabatnya mendapat markah yang tinggi hasil meniru, bercampur sedikit rasa putus asa menjadi 'baik', maka di tanamnya azam untuk sama meniru atau memberi tiru, dan semester baru di lalui dengan penuh kekejian.

Begitulah kebanyakan peperiksaan berlangsung. Kezaliman ini di warisi dan di wariskan. Bukan semua melakukannya, tapi kebanyakan. Hanya peperiksaan berperingkat kebangsaan saja yang selalunya terselamat dari permasalahan ini.

Hakikatnya, si pengawas dan pemberi tiru juga adalah Peniru.  Maka orang yang meniru itu di sokong dengan membiarkannya meniru. Mereka adalah dari golongan yang sama. Mereka adalah dari rumpun yang sama!

Pengawas yang menjaga peperiksaan memberi tiru, mungkin adalah kerana mereka juga pernah di beri peluang untuk meniru oleh pengawas peperiksaan mereka suatu masa dahulu. Jika begitu, nampaknya situasi yang sama berlaku sebelum dan sebelumnya lagi. Logik saya menyatakan sedemikian. Malang sekali kerana selalunya pengawas peperiksaan adalah terdiri daripada guru atau pensyarah subjek peperiksaan tersebut.

Peniru dalam peperiksaan adalah Penipu. Dia menipu pemeriksa kertas dan gurunya dengan menyatakan dia bijak sedangkan tidak. Dia menunjukkan keputusan yang baik kepada kedua orang tuanya; kononnya dia bersungguh dalam belajar sedangkan dia medapatkannya dengan meniru. Dia sepertinya hebat, akan tetapi tiada apa di dalamnya.

Mengapa perlu meniru ketika peperiksaan berlangsung? Rasanya belum ada yang mati kerana gagal menjawab soalan peperiksaan. Jika tidak tahu, buat cara tidak tahu. Hentam ke, melalut ke, asalkan tak kosong. Usaha juga tu. Kalau salah sendiri, lain kali perbaikilah; belajar bersungguh-sungguh untuk menghadapi peperiksaan. Buat persediaan cukup-cukup. Maknanya, akan adalah peningkatan setiap kali peperiksaan. Kalau sama saja setiap kali, seribu peperiksaan pun tak guna.


Jadi usah meniru. Tak ingin tahukah tahap kehebatan iQ  anda? Peperiksaanlah masanya untuk menguji. Saya sendiri mengambil guru saya sebagai tauladan untuk tidak meniru. Guru itu sangat hebat. Jika saya mula tidak meniru sejak dari menerima teguran dari seorang guru pada usia 14, beliau tidak pernah langsung meniru dalam mana-mana peperiksaan sepanjang jangka hayatnya! Kira-kira 30 tahun usianya pada waktu itu, dia tidak meniru, dan dia masih hidup sehingga kini.

Berapakah besarnya dosa yang terhasil dari meniru itu ? Menipu diri sendiri, ibu bapa, rakan-rakan, malah menggadaikan masa depan sendiri.

Disiplin kejujuran ini sangat penting untuk ditekankan; kejujuran adalah antara perkara asas yang sangat menjadi pergantungan sebarang urusan. Sama seperti adil, ikhlas, sabar; kefahaman mengenainya tidak boleh didapati dalam tempoh yang singkat.

Hakikat pahit yang perlu di telan adalah, masyarakat Malaysia selama ini telah berkembang biak dengan amalan jijik “ MENIRU, MEMBERI TIRU, atau MENGIZINKAN MENIRU ” dalam peperiksaan.

Tidak hairanlah kualiti dan integriti graduan semakin diragukan, walau jumlah semakin ramai. Graduan ini akan memasuki masyarakat, membawa pekung sikap jijik ini dan mengamalkannya dalam urusan seharian. Jahanamlah jawabnya.

Si Penguasa Akademik
Cuba perhatikan implikasinya.

Berapa kerat sangatlah pihak penguatkuasa yang menolak rasuah? Button ‘Saya Anti Rasuah’ yang diperkenalkan pada zaman Pak Lah itu nampaknya sekadar perhiasan; si penipu masih seorang penipu jika sekadar menyarung pakaian kejujuran. Pakaian di tukar, sikap tak tukar. Apa pun tak boleh.

Ada juga yang kreatif. Mengubah kejijikan rasuah dan menerimanya sebagai ‘upah’? SPRM sendiri gagal menununjukkan mereka bebas rasuah. Golongan yang kreatif tak bertempat ni boleh juga kita diletakkan di tahap berani yang paling tinggi;tahap fir’aun. Mana tak fir’aunnya, cabar Tuhan.

Sangat kreatif untuk menghalalkan yang haram. Seperti bani Israel yang licik. Bila nabi Musa bertanya mengapa mereka menangkap ikan pada hari sabtu seperti yang diharamkan Allah, mereka berkata bahawa ikan tersebut yang memasuki jaring mereka, bukan mereka yang menagkap ikan tersebut. Maka di ubah Allah mereka menjadi beruk yang hina! Yang halal itu jelas, yang haram itu jelas. Antara keduanya ada yang syhubhah. Nabi sabda ni.

Sifat amanah dalam menjalankan tanggungjawab mudah saja di beli kerana bertuhankan wang dalam pekerjaan. Lebih jujur dengan wang dari tuhan? Jangan sampai syahadah itu batal tanpa disedari. Syirik itu tetap neraka balasnya, walau sekadar Khaafiy.


Kejujuran itu teras. Kalau dapat jaga, pergilah kemana pun, penipuan tak akan berlaku. Semua kerja memerlukan kejujuran. Lebih-lebih lagi penguatkuasa. Sifat ni perlu di ajar dan di latih pada masa latihan, iaitu pada masa sekolah, atau sebarang institusi pengajian. Para tenaga akademik wajib menyedari beberapa perkara.

Malang yang berlaku adalah apabila kebanyakan mereka mahukan jalan pintas dalam proses pembelajaran. Menghabiskan kelas awal, membiarkan pelajar meniru ketika peperiksaan adalah permulaan jenayah antarabangsa seperti ini.

Perkara ini mungkin berpunca dari implikasi yang akan mereka hadapi seperti menghadap pegawai mereka bagi menjawab persoalan berkenaan markah pelajar yang teruk. Jika pelajar dibiarkan meniru, kemungkinan untuk mendapatkan markah tinggi akan lebih tinggi. Maka menghadapi situasi yang meresahkan di hadapan pihak atasan dapat dielakkan.
 “ Faham tak ni? Kalau tak faham, buat-buat faham..”
Pernah dengar ayat ini, bukan? Walau terdengar lucu, namun mengandungi jenayah yang halus yang sangat merbahaya. Perspektif ini mesti di ubah. Sebagai pelajar, kalau tak tahu, jangan kata tahu! Biar lama sedikit belajar. Bukankah rugi kalau ke kelas tanpa membawa ilmu pulang? Tugasan di bawa, ilmu pula tiada. Sedangkan tugasan itu untuk aplikasi ilmu. Kepentingannya sudah terbalik. Terpampang ketidaksungguhan dan ketidak jujuran dalam menyampaikan ilmu dalam ayat di atas. Asal dah sampaikan. Bekerja kerana gaji mungkin. Asalkan tak makan gaji buta sudah.

Awas para pendidik! Tanggungjawab sebenar anda adalah memahamkan pelajar anda. Fahamkan semula niat anda dalam mendidik. Anda adalah orang yang akan dipersalahkan kiranya anda tidak menjalankan tanggungjawab anda dengan baik. Orang tak akan salahkan jurutera. Orang tak akan salahkan nelayan. Jari akan tertuding pada guru. Janganlah terlalu mementingkan reputasi sehingga proses pewarisan ilmu terabai; sedangkan itulah fungsi dan tanggungjawab yang lebih utama.

Maka saudaraku sekalian, jika anda seorang peniru, sedarilah, tanya semula diri anda. Apakah meniru dalam peperiksaan ini baik atau buruk, dosa atau pahala? Kalau masih tidak menemukan jawapannya, tanyalah pada orang lain, dan saranan saya, tanyakan kepada ibu bapa anda, atau guru anda. InsyaAllah, saranan mereka akan seperti saya.

Tanamlah azam untuk berubah. Jika anda peniru tegar, kurangkanlah. Dapat terus berhenti lagi bagus. Jika sememangnya hendak berhenti, inilah masanya. Usah di tangguh. Kita mungkin boleh berbahagia dengan hasil meniru dalam peperiksaan. Akan tetapi dunia ini fana. Lambat laun kita akan ke alam baqa. Di sana kita pasti tidak dapat menahan setiap anggota kita yang setia menjawab persoalan Allah dengan penuh kejujuran.

Tiada ruginya jika kita berlaku jujur terhadap diri sendiri. Berhentilah meniru dalam peperiksaan; kerana kejayaannya adalah hasil yang batil. Ketahuilah, batil itu tiada tempat di hadapan yang Haq(Allah).

Nantikan sambungannya. Dengan izin Allah jua…

2 comments:

Dafinullah said...

haha. terkena batang hidung .

Anonymous said...

mcmna pulak status assigment yg d plagiat?still dlm mniru ka?..mcmna lak kita(sbg kwn)nk fhmkn mreka2 yg mniru utk xmeniru wlpn drp shbt yg mpunyai fikrah..ada jgk dgr ustaz ckap mgenai status duit yg dia dpt hsil meniru drp blajar bila dh dpt keja..halal,tapi xberkat..xbtul tlg btulkn..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...