Hold

"..dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan. ." .." (2:191)

March 29, 2011

Inilah Tarikhnya, Inilah Waktunya

Gambar Hiasan
Kerisauan menyengat. Rasa cemas mendepani pemikiran. Ombak debaran  gulung gemulung menghempas tebing hatinya. Peluh dingin berputik, bercantum sesama sendiri sebelum menuruni wajah menuju ke bucu dagu.
“ Berdoalah agar anak yang bakal lahir itu adalah lelaki. Kekanda memerlukan seorang putera untuk menerajui kerajaan ini.” ujar sultan itu perlahan seakan berbisik kepada Panglima Tharhan, adindanya. Dia juga turut sama berkongsi kerisauan, namun pasti saja tidak sekencang debaran seorang bapa di dadanya.
“ Bagaimana jika anak itu perempuan? ”
Kata-kata adindanya itu langsung tidak membantu dalam menenangkan naluri kebapaannya, namun berhasil memberikan buah fikiran kepada Sultan Murad untuk menemukan jalan mendapatkan ketenangan.

“ Entahlah. Allah jua yang punya pengetahuan tentangnya.”
“ Kekanda rasa, ada baiknya kekanda pergi membaca Quran sekarang. Memandangkan hanya Quran saja penenang paling mujarab.”
“ Sebaiknya begitu. Akan adinda sampaikan berita kelahiran kepada kekanda nanti.” ucap Panglima Tharhan, menyokong penuh.
Terang bulan malam di langit Adrianapolis itu sememangnya telah sedia indah, bertambah indahnya dengan bacaan ayat suci al-Quran, dari lisan Sultan Murad beberapa minit kemudian. Lembaran Quran itu di selaknya sehelai demi sehelai sebagai cubaan mendapatkan ketenangan.
“..Bismillahirrahmaaanirrahiiim.
Innaa fatahna laka fatham mubiinaa(1).....”
“ Kanda ! ”
Baginda menoleh, terpandangkan Panglima Tharhan di muka pintu.
“ Bersyukurlah, kerana permaisuri berhasil melahirkan seorang putera ! ” ujar adindanya itu dengan suara sedikit tinggi kegembiraan.
“..Sungguh, Kami telah memberikanmu kemenangan yang nyata..”
Maksud surah itu segera menyengat kepala baginda Sultan Murad; memandu kepada sujudnya dahi itu menzahirkan kesyukuran yang amat. Allah memberi petunjuk kepadanya dengan kepala surah yang baru saja di bacanya sebentar tadi. Berulang-ulang kali baginda mengulangi ayat tersebut. Bersyukur.

Setelah menzahirkan sedikit kesyukurannya, azan berkumandang beberapa ketika kemudian, tatkala bayi terpilih itu terdakap di pangkuan baginda Sultan Murad; mengundang keberkatan buat bayi tersebut dengan berciciran larinya syaitan mendengarkan seruan suci itu.

Sebaknya menahan kegembiraan dan kesyukuran, berselang seli menonjolkan diri pada getir laungan azannya.

Tanggal Mac 29* menjadi saksi kelahiran insan yang disabdakan nabi pada sekitar 800 tahun sebelumnya, berkenaan penunduk kemegahan Konstantinopel; semasa baginda menggali khandaq(parit) dalam menghadapi serangan tentera bersekutu arab pada ketika itu.

Dialah sebaik-baik raja, manakala tenteranya pula sebaik-baik tentera, begitu pula rakyatnya. Terbukti dengan Konstantinopel yang berjaya di tundukkannya, menambah keimanan bagi orang-orang yang beriman terhadap kebenaran kerasulan Muhammad saw. Maka jolokan Muhammad Alfatih sememangnya sesuai dengan keperwiraannya.

Gambar Hiasan
Sebagai berkongsi kelahiran dengan baginda Sultan Muhammad, terpukul juga kesedaran ini saat membandingkan diri dengan baginda sultan.

Apa yang telah aku lakukan untuk membuktikan syahadah ini sedangkan baginda menumpaskan tentera termasyhur dengan kekuatan taqwa seorang hamba pada usia yang sama?

Dengan rawatib yang tidak pernah tinggal, ditambah dengan amalan semahal tahajjud yang tidak pernah lekang dari catatan amalnya itu; akhirnya membuatkan baginda sendiri yang menjadi imam untuk bersolat; saat berjaya menumpaskan benteng angkuh tentera Konstantin.

Dari bilangan tentera seramai muatan 72 armada peperangan, hanya baginda saja yang tidak pernah ketinggalan rawatib dan tahajjud sejak akil baligh. Sedangkan tentera-tentera itu adalah yang terbaik sabdaan nabi dari kalangan yang pernah wujud, namun tiada satu pun yang setanding dengan ibadahnya.

Begitulah dahsyatnya kesan amalan sunat. Betapa baginda sultan dimenangkan kerananya.

Menanam pasak optimis di minda, saya penuh berkeyakinan, bahawa begitu jugalah kebangkitan islam era akhir zaman yang akan bangkit menegakkan syariat dan kebenaran, sebagai menepati taqdir susunan Illahi.
“..maka Dia menyediakan sebelum itu, satu kemenangan yang dekat (masa berlakunya)..”(Quran 2: 214)
Tentera yang mendokong kemenangan itu adalah tentera yang tidak ketinggalan pada amalan sunat, terutama pada rawatib dan tahajjud. Itu KUNCInya.


Jadi saudaraku, jika anda benar-benar memahami syahadah yang pernah kamu ucapkan, tiada tersia sisa masamu selepas ini di tanpa kau bermunajat kepada Tuhan di sepertiga malammu!

Aku insyaAllah, takkan lelah menantikanmu menyertai langkah menegakkan panji kebenaran ini. Sungguh, aku tidak berkehendakkan apa-apa daripadamu.
..Dan aku tidak meminta sesuatu imbalan(bayaran) kepadamu atas ajakan itu, imbalanku hanyalah dari Tuhan seluruh alam..”(Quran 26 : 145) 

 *Alfatihah buat ruh Muhammad bin Murad dan seluruh tenteranya. Alfatihah.


Februari 28, 2011, Auditorium Blok D, Jalan Hang Tuah.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...