“ Perlukah kita jadi baik untuk dapat zuriat baik? ”
Gambar Hiasan
“ Aaaaaa..Perlu.”
“ Perlu ek? Kenapa? ”
“ Yelah, nak didik anak-anak..”
Berpusing-pusing saya di atas kerusi di bilik mesyuarat tersebut. Persoalan seperti itu saya ajukan demi melihat pendapat dan pegangan senior yang lebih dahulu di pilih tuhan menjadi jundi-Nya itu.
Bait-bait kehidupan semasa di institusi sebelumnya menyingkap tirai kenangan: felo di sana pernah juga bersyarah mengenai hal yang lebih kurang sama ruang lingkupnya.
“ Tapi, ada je anak-anak orang baik-baik(ustaz ustazah) yang perangai teruk..”
“ Tak ramai.” pantas tutur itu di ucap; membuktikan penentangan terhadap pendapat yang saya kemukakan. “ Memang ada ja yang macam tu, tapi tak ramai. Kebanyakannya jadi macam parents dia jugak. ”
“ Kalau tak pun jadi lebih baik dari parents tu sendiri.” Tambahnya lagi, pantas dan berkeyakinan.
Saya tidak berpuas hati. Bertanyakan pada rakan sefikrah yang lain, jawapan mereka berkisar pada paksi yang serupa. Sekadar pandangan sendiri belum memadai tanpa dalil yang benar. Dia beroleh hidayah, maka fikirnya begitu. Bagaimana dengan mereka yang berkeras dan selesa dengan kekafirannya? Saya tidak rasa pemikiran mereka akan sama.
Fikiran saya masih berlegar pada ruangan yang sama. Perlukah kita semua menjadi solih untuk punya generasi yang solih?
***
Cuaca yang indah bertukar gelap.
Janji tersebut telah datang. Bumi memuntahkan air yang dikandungnya. Langit menuruti firman Tuhannya dengan mencurahkan air dalam simpanan. Dan setiap dari air itu menjadi mimpi ngeri buat kaum itu atas kebiadaban mereka mempersetankan peringatan yang di bawa utusan Tuhan.
Di saat hidup mati itu, baginda Nuh a.s menggunakan sisa tenaga yang ada, melontarkan pesanan dan ajakan kepada kaumnya, walaupun baginda didustakan sejak dari dakwahnya bermula. Baginda percaya, peluang itu masih ada. Allah akan menerima taubat kaumnya. Nyawa mereka mesti diselamatkan. Kerana tiada guna taubat setelah jasad kosong tanpa nyawa.
Perkara keingkaran kaumnya itu telah lama dibiarnya berlalu. Hatinya telah lama memaafkan kedegilan mereka. Baginda sedikit yakin bahawa sebahagian besar akan beriman, kerana telah sampai bukti yang mereka selalu minta disegerakan. Setiap ombak yang terhasil dari banjir itu seperti gunung tingginya; pasti saja melahirkan kegerunan buat kedegilan mereka.
Puteranya Sam, Ham dan Jafis serta beberapa yang telah beriman menuruti baginda Nuh a.s ke dalam bahtera tersebut. Namun masih sangat sedikit bilangannya yang beriman.
“ Di mana Qan’an? ” detik hati Nuh a.s, cemas. Anaknya itu tiada. Kasihnya sebagai bapa melaung-laung memanggil nama puteranya yang seorang itu.
Puas mencari, akhirnya di kejauhan, terlihat kelibat Qan’an yang berlari kecemasan, berusaha menyelamatkan diri.
“ QAAN’ AAAANNNNN !! Mari lekas, naik bersama kami. Jangan di ikut mereka yang kafir itu !!”
Hatinya berbunga, anak itu akan selamat. Dia telah mengajaknya, dan anak itu menoleh.
“ Aku akan mencari perlindungan ke gunung yang dapat menyelamatkan aku dari air bah !! ”
Bunga harapan yang tadinya mula mengembangkan kelopak jatuh melayu. Runtun hati baginda akibat kedegilan itu.
“ Tidak ada yang melindungi dari siksaan Allah pada hari ini selain yang Maha Penyayang !” laung baginda dengan kasih seorang bapa. Kata-katanya ringkas namun tepat, cuba memberikan kefahaman di saat-saat getir itu.
Tiba-tiba suatu gulungan ombak yang menggunung akhirnya memisahkan mereka, sekaligus menenggelamkan sisa umat itu bersama kedegilan mereka, termasuk Qan’an ibnu Nuh.
Begitulah. Walau memiliki anugerah sebagai seorang nabi, namun masih gagal menjadikan anaknya memperolehi hidayah Illahi.
Fesyen Yang Tersilap
Memilih untuk menghadiri kursus nikah tempoh hari adalah suatu putusan yang tepat. Kerana saya akhirnya sibuk memikirkan salah satu input yang saya dapat, iaitu kepentingan ibu bapa yang soleh dalam institusi kekeluargaan dan kemasyarakatan.
Kepada rakan-rakan sekalian, bukan tidak mahu berkongsi, tapi saya perlukan masa untuk berfikir tentang isi-isi penting yang saya dapati. Saya kira, berbanding memberikan ' daging ' mentah, adalah lebih berguna dan mudah untuk kalian menghadam, jika saya masakkan 'daging' tersebut terlebih dahulu. Maka kelak akan saya usahakan perkongsian mengenainya, dengan izin Tuhan jua.
Permasalahannya masih sama, perlukah menjadi baik(solih) untuk mendapat zuriat yang baik?
Baginda Nuh a.s pasti saja lebih baik, lebih solih dari diri ini, namun di kurnia anak yang menentang kebenaran yang baginda bawa.
Beberapa hari di kampung, saya kira, saya dikurnia akan jawapannya. Keberadaan adik-adik kecil saya gunakan sebaiknya untuk memahami tugasan seorang khalifah lelaki.
Mereka bertanyakan mengenai solat, adab-adab, juga beberapa perkara lain. Mereka tidak liat untuk bersolat setelah melihat orang dewasa bersolat. Pinggan mangkuk yang mereka gunakan di basuh sendiri, walaupun kotoran masih bersisa setelah buih sabun melimpah. Pakaian mereka di lipat dan di susun sendiri, seawal usia mereka tujuh dan sepuluh tahun. Selalu saja membuah senyuman buat saya.
Saya percaya kerana suasana. Seperti saja fesyen atau trend. Ramai mat rempit kerana fesyen zaman. Ramai artis muncul kerana fesyen zaman. Ramai pelawak lahir kerana fesyen zaman. Maka, tidak mustahil akan terjadi ramai ‘alim ‘ulama juga kerana fesyen zaman, sepertimana telah terjadi sebelumnya.
Kerana bila menjadi fesyen, perkara itulah yang akan membekas pada diri dan masyarakat, malah buat sekalian generasi.
"..Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah," mereka menjawab: "(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami..".(Quran 2: 170)
“..Mereka menjawab: "Cukuplah untuk kami apa yang kami dapati bapak-bapak kami mengerjakannya.."(Quran 5: 104)
"..Kami mendapati nenek moyang kami mengerjakan yang demikian itu, dan Allah menyuruh kami mengerjakannya..”(Quran 7: 28)
"..Apakah kamu datang kepada kami untuk memalingkan kami dari apa yang kami dapati nenek moyang kami mengerjakannya..”(Quran 10 :78)
“..Kamu tidak menyembah yang selain Allah kecuali hanya (menyembah) nama-nama yang kamu dan nenek moyangmu membuat-buatnya..” (Quran 12: 40)
“..Kamu menghendaki untuk menghalang-halangi (membelokkan) kami dari apa yang selalu disembah nenek moyang kami,..”(Quran 14:10)
“..Mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang hal itu, begitu pula nenek moyang mereka..”(Quran 18:5)
Ayat-ayat di atas adalah pernyataan golongan-golongan yang mengikuti AMALAN NENEK MOYANG atau KETURUNAN mereka; yang suatu masa dahulu pernah menjadi fesyen dalam berkehidupan. Begitu hebat kesan sesuatu amalan, yang mana perkara tersebut akan diwarisi oleh sekalian generasi hingga beberapa lapisan sesudahnya. Malangnya fesyen tersebut adalah fesyen kebatilan, suatu fesyen yang silap. Kalau yang diwarisi itu adalah kebenaran, bukankah lebih bermakna?
Sebagai sesuatu yang dapat saya pengangi, menjadi baik(solih) adalah suatu KEMESTIAN buat semua ibu bapa, sebagai usaha mewujudkan suasana yang solih, bagi mencetak anak yang solih pula.
Jika anak tersebut tidak menjadi solih sebagaimana orang tuanya, jangan tersungkur tetapi beringatlah, zuriat insan semulia Nuh a.s. itu juga tidak di kurnia hidayah. Namun usaha itu mesti. Kerana kita muslim, dan kaum muslim berbeza dari kaum yang kafir.
“..jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya yang berputus asa dari rahmat Allah itu, hanyalah orang yang kafir..” (Quran 12:87)
Mac, 2011, Pusat Persatuan Pelajar.
5 comments:
hmmm..Subhanallah..sesungguhnya tiada satu pun nilai kehidupan yang tidak berkait dengan Al-Quran...sungguh indah ciptaan Allah...:)
buah yg elok tumbuhnya dari benih yg elok,,,,,,:)
best..
anak dugaan kapada golongan soleh...
hebat lah anda nih. seriusly. kagum aku.
Post a Comment