Gambar Hiasan |
Sana sini terdengar bisikan serong terhadap kami.
Ustaz ustazah memulaukan kami.
Sepanjang minggu kami hanya berguru dengan rakan-rakan.
Mengapa?
Puas kami berbincang mengenainya, namun jawapan sebenar masih belum puas menyembunyikan diri.
Angin lalu menyampaikan berita kononnya kempen memboikot saya dan beberapa rakan pelajar tingkatan empat kelas aliran sains agama itu adalah disebabkan oleh tindakan kami yang menjadi penari tarian zapin pada sambutan hari kemerdekaan yang ke-49 tempoh hari.
Bertambah-tambah rasa hairan kami mendengarkan berita tersebut.
Salahkah kami mempertahankan kebudayaan kita, terutama orang melayu sekalian? Sehingga mengheret kami ke lembah boikot.
Seminggu bukanlah yang tempoh yang sekejap.
Lebih mendukacitakan lagi, tiada yang ingin bercerita kepada kami perkara yang sebenarnya, supaya kami dapat menyelesaikan perkara tersebut kiranya benar bermula dari kami.
Hanya setelah hampir seminggu barulah guru Matematik Tambahan kesayangan kami mahu membuka mulut. Itupun setelah didesak berkali-kali. Juga, dia hanya mendengarkan khabar angin.
Mmmm, khabar angin pun khabar anginlah. Kami dimamah keletihan menantikan jawapan.
“ Awak semuakan budak sains agama. Bakal-bakal ustaz dan ustazah berjoget diatas pentas? Siap bersilang-silang lagi. Manalah tak marah ustazah-ustazah awak tu,”ujar cikgu Hashimah menghuraikan kekusutan.
Kami segera menyusun masa dan kekuatan untuk memohon maaf kepada para ustazah.
Siap. Semua memaafkan. .
Namun tiada rasa ‘diampunkan’ pada saya.
Kerana saya tidak rasa bersalah. Kerana saya tidak faham mengapa saya di anggap salah.
Namun diri yang dah sedia kecut hanya memendamkan rasa di gubuk tanya, di ceruk pangkalnya hati. Risaukan ketegangan keadaan yang sudah sedia tegang menjadi lebih tegang, juga mengelakkan bertegangnya urat.
Allah maha kaya. Sungguh.
Jijiknya budaya tanpa agama telah saya rasakan.
Jelas terlihat betapa memalukan perbuatan saya satu ketika dahulu saat menonton persembahan tarian oleh sebuah pasukan tarian di sebuah program keusahawanan.
Gambar Hiasan |
Si lelaki yang duduk memerhatikan perempuan yang sedang asyik menari pastinya lebih asyik !
Try to put myself on their shoes, saya yakin dengan kurangnya kefahaman mereka mengheret kaki-kaki mereka ke lembah maksiat yang disangkakan lubuk rahmat.
“…kami hanya mengikuti apa yg telah kami dapati dari perbuatan nenek moyang kami…”
Itu jawapan bagi mereka yang membabi buta beramal tanpa faham.
Allah menjawab pertanyaan itu dengan
“…Dan apakah mereka akan mengikuti juga nenek moyang mereka walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa apa dan tidak (pula) mendapat hidayah?...”(Quran; Maidah : 104).
Kisah yang hampir serupa kandungannya boleh juga dilihat pada ayat-ayat berikut: al-A’raaf: 28, Yunus: 78, al-Anbiya’: 53, al Syu’araa: 74, Luqman: 27 dan al Zukhruf: 22.
Bangga mewarisi budaya tanpa faedah kaum sendiri hanya mengukuhkan semangat asabiyyah.
Bersyukur saya dengan keadaan kelab kebudayaan institusi saya yang tidak begitu menyerlah jika dibandingkan dengan institusi lain.
Baik di sisi Tuhan, pasti seribu kali baiknya jika dibandingkan dengan sisi kebudayaan yang diwarisi secara buta.
Tidak saya membenci tarian. Menarilah.
Kerana menari tidak perlukan jantina yang berbeza.
Menari tidak menuntut aurat yang terbuka.
Menari tidak memaksa syahwat terasa selesa gembira.
Menari tidak mewajibkan harga diri direndah-rendahkan.
Haram kata tuhanmu, haram pulalah katamu.
Kerana besar silapnya jika budaya yang sembah.
Besar juga jika pada bangsa saya bertuhan.
Cukuplah dengan Allah saya berbudaya, biarlah saja dengan sabda nabi saya menari.
Menarilah dengan rentak qalam Allahmu. Hanya itu langkah tari yang diberkati !
Februari 22, 2011, Bertam Perdana, Melaka.
1 comment:
sampai sekarang aku tak lupa peristiwa tu~
Post a Comment