Hold

"..dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan. ." .." (2:191)

February 27, 2011

Kecil Lidah, Besar Hidayah

Gambar Hiasan
“ *Daeng Daus, awak tak nak pergi masjid ke?” soal bocah kecil itu kepada saya saat dia mendengar laungan keramat dari masjid berhampiran, namun hairan dengan saya yang masih duduk terpaku. 
“ Nak, nak. Kejap, sikit lagi. Awak dah ambik wudhuk ke? Pergi ambik dulu,” soal saya terpinga-pinga mencari alasan menyembunyikan rasa malu.
Melirikkan semula pandangan kepada komputer riba, senyuman gembira kebanggaan saya ukirkan, di sambut dengan pujian kepada Tuhan atas kurniaan kesedaran dari kanak-kanak sekecil itu. Hamdulillah.

“ Dik, kunci motor takdelah. Kita solat kat rumah ajelah ye? ” soal saya kembali beberapa ketika kemudian menguji kesungguhannya. Memang benar kunci tiada ditempat biasa.
“ Alaaa, kita naik la basikal. Awak bawak, kita duduk belakang,” ujarnya memberi penyelesaian.
Saya tersenyum. Terasa dipergunakan.


Naik basikal? Lama benar kaki ini tidak dijamukan dengan keletihan mengayuh basikal.
“ Alaa, jauh la nak naik basikal. Tapi nanti kita sampai masjid berpeluh-peluh. ” Kalis saya membantah.
“ Kita lalu lah jalan kat situ tu. Nanti awak terus, lepas tu lalu titi, pergi taman. Nanti kita sampai la.” Jari comelnya menunjuk ke jalan gelap belakang kebun.
Gelak saya terhambur sedikit. Gembira melihat kekreatifannya berfikir menyelesaikan masalah.
“ Tapi nanti kita sampai masjid berpeluh. Lagipun orang dah nak habis solat dah !” bantah saya sambil bergerak mengambil basikal klasik yang disembur cat biru metallic. Akur.
“ Kita berserahlah kepada Allah. Allah kan …….bla……bla….,” sambut mulut kecilnya membebel dengan ayat yang menepati skema jawapan pemarkahan terbaru kertas peperiksaan bahasa Melayu.
Fikiran saya menerawang. Terabai langsung kata-katanya dek kembiraan yang amat sangat.

Kegembiraan atas anugerah al-Ilah.


Baqaroh 2: 26
Baru berapa kali saya memancingnya ke masjid sebelum ini. Tidak pernah langsung saya kemukakan hujah-hujah seperti yang dituturkannya tadi.

Kayuhan saya hanya membuahkan lelah setelah hampir dua minit mengayuh. Terasa benar panjangnya dua minit tersebut.
“ Kita berdoa kepada Allah je. Pot……pet…..pot….pet.” Lidahnya memulakan ceramah sesi keduanya saat saya sesekali menoleh memandangnya kebanggaan; dengan senyuman bermakna di bibir.
Memasuki perkarangan masjid memberikan kebebasan buat lenguh yang dari tadi hinggap di keseluruhan sendi kaki sepanjang kayuhan.
“ Haa, kan kita dah cakap. Kalau kita berdoa kepada Allah …….pot……pet……pot…..pet.” Suaranya menyertai kelegaan saya, melebarkan lagi senyuman yang tak turun lentur sedari tadi lagi.
Memang benar jemaah sudah di salam kedua. Menjadi masbuq memberikan saya perluang melakukan Nazilah.

Doa saya sedikit panjang pada selepas solat. 


Melahirkan rasa syukur buat beberapa kegembiraan yang membumbui relung hidup sejak beberapa hari yang lepas.
“ Awak dah baca doa keluar masjid belum, dik? ” soal saya sebagai ‘ membalas ’ tegurannya sebelum solat tadi.

Memperbetul gagap pelatnya membaca doa keluar masjid membawa kami ke gerbang masuk perkarangan Masjid Jami’ Temenggung Daeng Abdul Rahman itu.
“ Hari ni kita dah solat Asar, Zuhur, Maghrib dengan ‘Isyak. Dah empat dah. Cuma subuh je kita belum pergi masjid,” ujarnya membuat kira-kira.
“ Subuh awak nak pergi masjid ke? “ soal saya berminat.
“ Nak,” jawabnya jujur menambah kekaguman saya terhadap semangat dan keinginannya.
‘ Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah.........'

Tak henti lidahnya berzikir nama suci itu. Terpapar sedikit kerisauan pada wajahnya.


Saya yakin kerana pekatnya kegelapan jalan kebun yang telah dicadangkannya kepada saya sebelum pergi ke masjid tadi.

Walau tidak berniat ‘membalas’, tapi sedikit sebanyak kepuasan terbit di hati.


Rasakan ! Tau pun takut. Hehe.

Gambar Hiasan
“ Moga kau berikannya kefahaman dan hidayah, ya Allah,” getus hati berdoa sebelum menumpukan pada kayuhan basikal; meredah bunyi keringat dan kedinginan yang mulai tersebar di sebalik kepekatan malam.
Ditegur oleh seseorang yang lebih kecil dari anda tentang perkara yang anda sudah sedia faham? Itu sunnatullah.

Nyamuk juga boleh menegur anda ! (2: 26)

*Daeng adalah istilah yang digunakan oleh kaum Bugis sebagai gelaran penghormatan buat saudara yang lebih tua.


Februari 4, 2011, Benut, Johor.


2 comments:

hafizah nasruddin said...

suke la dengan si kecik tu,,

admin said...

Apatah lagi saya sendiri. Seringkali dia menjadi asbab saya rasa ingin pulang ke kampung.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...