Hold

"..dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan. ." .." (2:191)

February 18, 2011

Revolusi Manusia Menjadi Ulat


Gambar Hiasan
“ Weyy, kau tengok ni !” Jerkah Nazrin kepada saya; bersemangat, sambil menunjukkan buku di pegangannya. Sudah hampir tiba ke pengakhiran cerita nampaknya.
Muhammad Al-Fateh, Penakluk Konstantinople karya Abdul Latip Talib itu menjadi tatapannya sepanjang kami menyertai program berbentuk keusahawanan di sebuah universiti awam tempatan.
“ Alah, kau cakap boleh habis sehari aje. Sekarang dah berapa hari,” serkah Seman, menjirus api kebanggaan Nazrin yang tadinya marak menjulang.
“ Yelah, sehari kan 24 jam. Kiranya Nazrin perlukan 24 jam untuk habiskan buku tu. Sekarang baru berapa jam,” ujar saya mempertahankan Nazrin, walaupun saya juga menyirap dengan lagaknya sebentar tadi.
“ Haaa, kau dengar tu. Daus back up aku ! Hahaha.”
Gelak tawa kami berhamburan untuk beberapa saat seterusnya.

Saya punya alasan sendiri mempertahankan Nazrin.


Bukan membantu dalam mempertahankan ego busuknya pada saat dia berlagak terhadap menghabiskan buku tersebut, tapi ada sesuatu padanya yang saya inginkan terus subur, dengan saya sebagai penabur bajanya.


Jika difikirkan dari satu sudut, egonya itu perlu saya tentang habis-habisan. Ego itu bakal menjatuhkannya di kemudian hari.

Namun apa yang menggerakkan saya untuk membantunya adalah minatnya terhadap membaca yang sudah mulai memutikkan tunasnya. Lama saya menantikan.

Ketiadaan minat membaca itu penyakit yang telah lama membarah dalam masyarakat. Kecuali facebook semakin digilai. Malah pihak berwajib juga telah berbelanja mencecah ribuan ringgit demi untuk menyuruh rakyatnya membaca.

Menanam minat membaca sesukar menyuruh para perokok berhenti dari menjadi ekstrimis keberanian(kerana sangat berani menjahanamkan organ badan sendiri).

Saya mengagumi keberanian anda.


Maafkan saya kiranya melukakan hati sang perokok sekalian. Saya kira sindiran saya tadi tidaklah sebahaya kesan Nikotin dan Tar yang terdapat dalam rokok terhadap organ tubuh anda.

Saya juga bekas penghidap penyakit anti-bookworm berkenaan, mungkin antara yang teruk.

Revolusi manusia menjadi ulat(ulat buku)? Sungguh saya tidak berminat.
Gambar Hiasan
Namun seorang Yahudi yang saya syukuri keceluparannya membuatkan saya akhirnya sembuh daripada penyakit itu, hanya dengan kata-katanya.

Ajaibnya sebuah bicara.

Yahudi itu dimarahi oleh rakan sefahaman dengannya kerana dia menulis artikel berkenaan perkara-perkara yang boleh menjatuhkan bangsa kesayangan mereka itu; risau akan dibaca oleh musuh tradisi mereka, kita si Muhammadan.

Namun dengan yakin dan tegas dia menjawab:
"Jangan risau. Mereka(ummat islam) tak akan baca buku tu. Mereka tak suka membaca. Jadi tak perlulah kita risau."(jawapan olahan saya)

Sebuah statistik dari sebuah majalah yang boleh dipercayai pula merekodkan Malaysia antara negara yang paling kurang membaca dalam bandingan dengan negara-negara dunia ketiga, meski Malaysia tergolong dalam negara dunia kedua !

Betulkan kalau saya silap.

Sedangkan istilah baca, atau ikut itu adalah arahan pertama dari Tuhan buat Muhammad manusia mulia, saat dia menangisi kejahilan ummatnya 1400 tahun yang lampau(1: 96).
" Bacalah(Ikutilah) dengan nama TuhanMu yang menciptakan."

Tiada apa selain baca !

Suruhan seringkas ‘ baca ’ sudah cukup menandakan suruhan pengejaran ilmu dan penjanaan idea yang berterusan bagi orang yang mahu menggunakan akal.
“ Pergilah beli buku baru. Buku ni dah nak habis. Tapi aku tak nak buku yang ada ayat-ayat Quran. Kalau ada satu pun aku tak nak baca,” perintah Nazrin mempergunakan kelemahan saya; cintakan buku, sebagai alat untuknya mengisi keghairahannya terhadap buku yang mulai memancar.

Walaupun sedikit jengkel dengan syaratnya, tapi saya tak kisah langsung. Kerana apa yang lebih penting adalah belaian terhadap keinginannya untuk membaca yang baru terbit itu.
“ Lantaklah, janji dia nak baca. Lagipun aku memang nak beli buku lagi,” getus saya sendirian saat menghulur not RM50 bagi buku Tok Janggut ; Pahlawan Kelantan dan Abu Ubaidah; Penakluk Parsi kepada petugas kaunter koperasi.

Kepada Tok Janggut dan Abu Ubaidah, SELAMAT DATANG KE DALAM SUSUNAN, WAHAI SATRIA TUHAN.


Inn, 30 Januari 2011, Sintok, Kedah



1 comment:

mohd Lamka said...

kamu adalah apa yang kamu baca,,,,,,

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...