Gambar Hiasan |
“ Weyy Castello. Ooohh, sombong ea sekarang,”sapa seorang perempuan yang pernah menjadi rakan kongsi ketika menjadi blacklist tika di bangku sekolah dahulu.
“ Eh hai. Sombong ek? Itulah. Aku pun tak tahu la. Bukan tak nak call kau, tapi tak jumpa sebab nak call, jawab saya terpinga-pinga memberi alasan.Terkadang berhelah dengan telefon yang hilang juga berkesan.
Lumrah diri ini sebagai manusia hanya ingat kepada mereka-mereka yang pernah berjasa kepada kita, pernah menjadi watak utama dalam titik perubahan hidup atau mungkin yang pernah menyakitkan kita.
Sejenak terimbau suasana di sebuah dewan sekitar empat tahun yang lampau.
“ Ummatku..ummatku…,”suara sayu penceramah itu bergema semula dalam dalam kotak minda sebagai cubaan meniru dialog utusan mulia di ranjang kematiannya.
Gelombang sebak dan sedih bercampur baur di dada ini, gulung-gemulungnya memutikkan kilauan air jernih di sudut mata yang terpaku menghayati ceramah mantap pada sambutan Maulidur Rasul pagi tersebut.
Waktu itulah tertanamnya hidayah kecintaan kepada insan mulia Muhammad bin Abdullah.
Memikirkan tahap kesempurnaan cinta dan kasihnya yang tidak terhijab dek jarak ribuan tahun dari zamannya bernafas, sememangnya sangat-sangat mengagumkan.
Alla humma solli ‘ala Muhammad wa ‘ala aaali Muhammad.
Kalau saya yang hidup di zaman penuh zaman kemajuan ini boleh saja melupakan rakan yang pernah menjadi watak penting dalam kisah hidup ini, bagaimana mungkin baginda bisa memikirkan perihal orang-orang yang langsung tidak baginda dikenali saat Izrail sedang di sisi pembaringan??
Pernahkah terfikir bahawa ada seseorang yang sangat kasihkan anda saat kelahiran anda masih belum di rancang oleh ibu bapa anda? Malah mungkin kelahiran mereka sendiri juga belum pernah terfikirkan.
Beribu batu jaraknya, beribu tahun pula masanya !
Nafas sudah di kerongkongan. Tapi masih memikirkan akan saya, akan kita akan kita semua, akan kamu semua,para WANITA sekalian terutamanya.
Pernah diceritakan, bawasanya nabi saw tatkala merasai keperitan sakaraatul maut, telah bermohon agar Allah swt mengangkat dan meletakkan kesakitan sakaraatul maut yang bakal di rasai oleh ummat-ummatnya kepada dirinya sendiri. Allah tidak memperkenankan permintaan tersebut, akan tetapi dikuranginya separuh kesakitan sakaraatul maut yang bakal di tempuh oleh ummat Muhammad.
Alla humma solli ‘ala Muhammad wa ‘ala aaali Muhammad.
Ukuran ilmu biologi manusia membuktikan bahawa cantuman dua genetik puak yang berbeza akan menghasilkan hasil genetik baru yang lebih berkualiti. Sejak dari wafatnya Muhammad itu, berjuta malah berbillion-billion manusia telah lahir hasil dari perkongsian genetik ibu dan bapanya yang belainan bangsa dan bahasa. Namun ketiadaan insan yang memiliki genetik sesempurna Muhammad dari bandingan akhlaq dan parasnya menambahkuatkan lagi iman ini pada kerasulan dan kebenaran yang dibawanya.
“..Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redha islam itu sebagai agama kamu..(Quran 5:3)”
Firman inilah petunjuk awal kepulangan Ruh Muhammad kepada Allahnya pada pagi itu; dengan tangisan hiba dan kedukaan yang jelas membarah ke dalam hati sebahagian besar para sahabat serta sanak saudaranya.
Persoalan keajaiban kasih sayang baginda itu akhirnya saya gantungkan tidak bertali walau sudah seringkali bermain ligat di fikiran. Kekaguman itu masih membara. Bara yang mesti di sentiasa dihidupkan dan insyaAllah, tidak akan dipadamkan selagi hidayah Illahi membumbui relung hati.
Wahai Allah, sejahterakanlah junjungan kami Muhammad serta keluarga junjungan kami Muhammad.
13 Februari 2011, Jalan Hang Tuah, Melaka.
No comments:
Post a Comment