Perjalanan gelap menuju Rompin itu ditambahgelapkan lagi dek berita yang dibawakan oleh rakan sepermainan di hujung talian.
“ Aku pun tak tahu betul ke tak. Aku baca kat facebook. Dah panjang dah komen ni. Cuba kau tanya sesiapa,” jelas Gereh memindahkan kerisauan.
Segala Puji Tertentu Bagi Allah, Tuhan Yang Memelihara Dan Mentadbir Sekalian Alam.
Sebentar kemudian, kebenaran berita semakin meruap memunculkan sosok yang tadinya kekaburan. Kencang saya bernafas seakan menafikan graviti, darah merah yang terkumpul padu di kepala menambahkan lagi kehangatan berita.
Terkumat-kamit lisan memuntahkan ummul furqan untuk ruh yang pernah bergelar Muhammad Syafiq bin Kusnin, disertai dengan fikiran yang sedang cuba dijernihkan dari sebarang ratapan yang bisa menyiksa keadaan ruh.
Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Tika itu saya sedari, telah Allah kirimkan petanda-petanda bagi musibah tersebut sepanjang beberapa hari sebelumnya. Quran yang di bacai seringkali merangkumi situasi yang berkaitan dengan kematian. Sabda nabi juga berbicara dengan perkara yang sama.
Hati sedikit terkilan kerana tidak dapat memberikan penghormatan terakhir kepada ruh si mati yang telah mewarnai lembaran hidup dengan kenakalan dan keriangan. Kami terpisah dek jarak yang berbatu jauhnya. Malah semakin risau kiranya terdapat hutang dosa yang sengaja dilakukan.
Yang Menguasai Hari Pembalasan(Hari Akhirat).
Segera saya terfikirkan mengenai amalan yang bakal di bawa si mati ke liang lahadnya. Hanya saja Syafiq bujang sepertinya saya, maka hanya ilmu yang dimanfaatkanlah yang bakal di pajaknya kelak dihadapan Tuhan.
Otak melilau mencari idea untuk mengirinkan bekalan yang bermanfaat untuk saya kirimkan buat si mati yang menghadapi masa berbaki sebelum hari kebangkitan sebenar. Hamdulillah. Tuhan temukan melalui ceramah murabbi tercinta, Ustaz Najib:
“ Seorang perempuan telah datang bertemu dengan Hassan Al-Basri, meminta sedikit ilmu supaya dia dapat melihat keadaan anak perempuannya yang baru meninggal dunia. Setelah mengamalkan apa yang diajarkan oleh Hassan Al-Basri, perempuan tersebut menemui anaknya dengan keadaan tangan bergari, muka yang hitam dan kaki berantai.
Maka Kembalilah perempuan tersebut kesedihan; mengadukan hal kepada Hassan Al-Basri. Beliau akhirnya menyarankan agar perempuan tersebut memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar Nabi saw. Suatu malam, Hassan Al-Basri bermimpi menemui mayat perempuan tersebut dengan wajah yang penuh keceriaan. Apabila di tanya, jawabnya adalah disebabkan oleh selawat yang dikirimkan oleh ibunya.”
Engkau Sahaja Yang Kami Sembah Dan Kepada Engkaulah Sahaja Kami Memohon Pertolongan.
Laman sosial facebook menjadi tempat lawatan saat jari mencapai Izin tuhan melayari internet. Berpuluh komen dan respon terhadap si mati. Masing-masing mendoakan keberadaan yang tenang buatnya. Terima kasih aku untuk kalian, alumni Dato’ Penggawa Barat.
Beberapa hari sebelum kewafatannya, Nabi saw telah bersabda sebagai menjawab pertanyaan para sahabat perihal pengganti nabi setelah ketiadaannya kelak:
“ Aku tinggalkan kepada kamu semua jalan yang benar dan jalan yang terang, dan telah aku tinggalkan kepada kamu semua dua penasihat yang satu daripadanya pandai bicara dan yang satu lagi diam sahaja.
Tunjukilah Kami Jalan Yang Lurus.
Yang pandai bicara itu ialah Al-Quran dan yang diam itu ialah maut. Apabila ada sesuatu persoalan yang rumit di antara kamu, maka hendaklah kamu semua kembali kepada Al-Quran dan Hadis-ku dan sekiranya hati kamu itu berkeras maka lembutkan dia dengan mengambil pengajaran dari mati."
Gambar Hiasan |
Iaitu Jalan Orang-Orang Yang Engkau Telah Kurniakan Nikmat Kepada Mereka, Bukan Jalan Orang-Orang Yang Engkau Murkai Dan Bukan Pula Jalan Orang-Orang Yang Sesat.
Mudah-mudahan kemanfaatan terhadap Quran menerangi gelap kuburan, memperluas, serta menjadi peneman yang indah buat ruhmu, Muhammad Syafiq bin Kusnin sampai hari kebangkitan.
Allahumma solli ‘ala Muhammad wa ‘ala aaaali Muhammad.
**Muhammad Syafiq bin Kusnin (Wak Nin), kenalan saya sepanjang usia 13 hingga 15 tahun di SMK Dato’ Penggawa Barat, Pontian. Kembali ke sisi tuhannya pada 11 Februari 2011 dengan usia lingkungan 20 tahun. Mohon alfatihah dan selawat yang anda bacaan di sepanjang entri ini dapat di sedekahkan buat ruhnya, sebagai peneman menunggu hari pengadilan. Sungguh tuhanMu takkan melalaikan setiap tingkah dan langkahmu.
15 januari 2011, Bertam Perdana, Melaka.
3 comments:
Semoga arwah selamat di sana.
ameen...ya juga bersedih keatas pemergian arwah..
semoga ruh nya ditempat kn bersama para syuhada...amenn
Post a Comment