Hold

"..dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan. ." .." (2:191)

April 14, 2011

Betulkan yang Biasa, Biasakan yang Betul

Gambar Hiasan
Sekumpulan kanak-kanak memanjat mercu tanda berbentuk separa bulat itu, memegang kuat, mengira sehingga tiga, sebelum menggelongsor ke bawah dan ketawa gembira.

Di kejauhan, kelihatan keputihan kopiah di bawah khemah. Kerusi yang tersusun itu masih banyak rongganya.

Empat buah khemah putih terpasak teguh memayungi hadirin di hadapan pentas Dataran Keris, Alor Gajah itu.

Kami mengikut selera Azam, mahukan lokasi yang menghadap terus ke hadapan pentas. “Kalau tak, tak puas doe.” ujarnya.

Ringan di Badan, Berat di Mizan. Demikian tajuk perbahasan.

Tiga orang panel dipertanggungjawabkan membahaskan tajuk di atas pada sesi forum perdana ehwal islam malam itu; Ustaz Ridhuan Tee bin Abdullah, Dr Sharifah Hayati Bte Syed Ismail, dan Ustazah Salbiah bte Umar, dengan ustaz Ridhuan Tee menjadi pilihan kebanyakan hadirin. Seorang lagi berpangkat doktor, seorang lagi cuma ustazah biasa; berdasarkan pada pangkat di hadapan namanya.

Tajuk yang di pilih merupakan satu isu besar, di mana setiap perkara adalah sangat besar di sisi Tuhan, tetapi di pandang kecil di mata manusia hina di dunia akhir zaman ini.

Kisah saidina Bilal bin Rabbah dijadikan santapan pada awal sesi penerangan itu. Kisah di mana terompahnya kedengaran oleh nabi ketika di mi’raj kan tuhan ke syurga; berhasil dari istiqamahnya menjaga dan melakukan solat sunat wudhuk. Nampak kecil, namun besar hikmahnya di hadapan Tuhan.

Secara jujurnya, saya kurang berminat mendengarkan atau menghadiri forum-forum kendalian para ustaz dan ustazah yang bersikap moderate dalam menyuarakan kebenaran. Demi menjaga periuk nasi mungkin. Merasakan kurang idea baru yang akan saya dapat, maka saya kurang bersemangat. Keegoan itu ada dalam diri.

Memang benar. Sedikit sekali kemasukan idea-idea baru untuk dicerna. Hingga saja beberapa kali lens cover mata itu tertutup semasa panel pertama dan ketiga menyampaikan perkongsiannya. Mengantuk dibuatnya!

Tiba-tiba, satu suara lantang dan nyaring  itu memecahkan keegoan yang sedia tertanam tadi. Saya memanjangkan leher untuk mengetahui siapakah dalang di sebalik suara yang nyaring itu.
“ Zaman sekarang ni, orang dah tak pakai bedah-bedah. Kurang berkesan. Sekarang orang pakai laser. Pakai laser aja senang. Zupp! Selesai masalah.”
Pernyataan itu di buat adalah sebagai membalas bidasan Dr Ridhuan Tee yang menyelar mulutnya yang sebagai ‘laser ’, dan perkara tersebut benar sekali.
Manakala sefaham saya pula adalah, zaman ini sudah kurang berkesan kiranya kita menggunakan ayat-ayat yang berbunga-bunga untuk menyampaikan sesuatu. Cakap straight lebih senang. Perkara ini jugalah yang menimbulkan kerisauan dalam hati saya dalam menguruskan blog. Risau-risau pembaca terasa terbeban membaca. Sekaligus menghalang dari sebarang perkongsian kefahaman yang saya cuba lakukan!

Namun bukan semua perkara juga boleh menggunakan khidmat mulut yang laser. Sebahagian besarnya masih memerlukan kiasan yang tersusun, seperti menyatakan perkara aib, atau menegur orang yang bukan kenalan rapat.


Slot Kedua
“ Antara perkara yang menjadi masalah masyarakat sekarang ini ialah kesilapan dalam menentukan perkara yang lebih utama. Contoh yang kita boleh nampak ialah ibu bapa yang berkeinginan melakukan umrah. Sedangkan mereka mempunyai anak yang sudah berada di usia yang layak menikah.
“ Akan tetapi kerana tersilap dalam meletakkan keutamaan, mereka dahulukan  melakukan umrah yang sunnat itu, sedangkan menikahkan anak yang sudah patut menikah adalah wajib. Minta penjelasan dari ahli panel kita yang ketiga memberikan penjelasan.”
Isu itu menarik untuk di ketahui oleh para ibu bapa. Juga untuk anak muda seperti saya. Maka untuk itu saya menegakkan tulang belakang, meletakkan sepenuh perhatian pada panel pilihan saya malam itu, Ustazah Salbiah.
“ Baiklah masalahnya adalah kesilapan dalam meletakkan keutamaan. Perkara ini telah dinyatakan oleh Dr. Yusuf Al-Qardawi dalam bukunya Fiqhul Awlawiyyat atau Fiqh Keutamaan. Saya dahulu menikah sebulan sebelum melanjutkan pelajaran ke Mesir. Saya asal Singapura. Seorang dari Singapura, seorang dari Kelantan. Selepas menikah saja, kami buat perkara yang patut, terus ke Mesir.
Gambar Hiasan
“ Apa yang saya nak sampaikan di sini ialah, masyarakat kita sekarang ni lebih risaukan tentang situasi pada masa majlis pernikahan berlangsung. Sedangkan perkara lebih penting adalah  situasi selepas majlis perkahwinan tersebut.
Menepung tawarlah, berinailah, macam-macam lagi yang di buatnya. Rukun nikah cuma enam seingat saya. Pengantin lelaki, pengantin perempuan, mas kahwin, wali, juru nikah, dan akad. Saya pun bukanlah arif dalam urusan pernikahan, jadi betulkan kalau saya silap.
“ Jadi, mak andam tu semua tak perlu. Hah! Ni saya nak bagi peringatan pada bakal-bakal pengantin ni. Terutama wanita. Sekarang ni mak andam kebanyakannya bukan orang perempuan. Tu, lelaki-lelaki lembut tu. Ingat! Walaupun dia lembut, dia bukan perempuan yang boleh menyentuh anda sesuka hati. Mereka tetap menjadi golongan yang haram anda sentuhi. Walaupun solekannya cantik macamanapun, jangan benarkan. Atau secara kesimpulannya, tak payahlah gunakan khidmat mak andam tu. Awak masih boleh hidup bahagia kalau walaupun tak ada mak andam solekkan awak.
“ Saya ingat lagi, masa saya dulu. Saya dah kata awal-awal pada mak saya, saya tak nak pakai khidmat mak andam walapun mak andam tu perempuan. Entah apa mak andam dan orang-orang lain kata pada saya. Biarlah. Redha Allah tu lebih penting. Saya tak nak redha Allah masa nikah saja, tapi berterusan sampai bila-bila..”
“Dalam urusan mas kahwin dan hantaran, sememangnya terpulang kepada pihak perempuan untuk menentukan. Serba duduklah, serba baringlah. Macam-macam. Awak harus ingat! Lelaki itulah yang akan menemani hidup awak selepas menikah. Kalau awak letakkan harga yang tinggi sehingga membebankan dia, nanti yang sakitknya awak sendiri. Biarkan apa yang orang nak kata. Jangan segan melanggar adat sekiranya perkara tu tak beul. Betulkan yang biasa, biasakan yang betul.”
Saya tersentak sedikit dengan pernyataan tersebut.

Betulkan yang biasa, biasakan yang betul. Menarik. Runtuh institusi keegoan yang terbina kukuh sedari tadi. Hamdulillah. Maafkan aku Allah.

Dengan konsep itu dalam pemikiran saya melangkah mendapatkan pemandu bas, berusaha memenuhi tanggungjawab menguruskan pergerakan pulang kami yang berjumlah 29 orang.
Nampaknya Betulkan yang Biasa, Biasakan yang Betul lebih bermakna dari Ringan di Badan, Berat di Mizan.” gumam saya sendirian sambil tersenyum menaiki bas.

*Segala dialog dan perbualan di olah mengikut ingatan saya tentang program tersebut.



Mac 27, 2011, Dataran Keris, Alor Gajah.

3 comments:

Anonymous said...

Berkias itu ibarat menoreh-noreh badan mangsa dan biarkan ia mati terseksa. Sound direct ibarat menembak kepala mangsa dan mangsa akan mati terus.(,")

Anonymous said...

tahniah gud job

Nurfarahana Abdul Aziz said...

tapi kalau majlis tu tujuannye nak war2 kan perkahwinan takpe kan?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...