" Tiada bicara , Tiada kata-kata
Terurai sudah patri janji
Manis madah senyum tawa persona
Terpadam satu dunia dari lubuk jiwa."
Berkali-kali lagu itu berulang sebagai mengingatkan saya supaya bangkit dari tidur. Supaya saya bergegas mencari redha Illahi di hening malam.
Jejari malas ini kemudiannya menggapai mouse, menghentikan penggera tersebut, dan meraikannya dengan mencari posisi yang lebih selesa untuk meneruskan dengkuran.
Semangat untuk bangun biasanya hanya muncul setelah hampir tiga puluh minit kelas bermula. Atau kerana ingin ke tandas. Atau kerana mesej, mencari selimut, assignment yang terbengkalai, atau memperbetulkan kipas.
Bangkit kerana telah terdesak. Kerana tak tahan. BUKAN KERANA CINTA KEPADA SANG TUHAN!
Bukan saya tidak tahu, bukan saya tidak ingat, bukan saya tidak sedar, malah saya sangat-sangat memahaminya.
Bahkan saya yang menetapkan supaya penggera tersebut berdentang pada waktunya. Malangnya saya masih gagal untuk bangkit.
Namun mengapa masih malas yang di utamakan? Saat itu Allah juga diketepikan.
Apatah lagi Quran, hadis, buku-buku fikrah dan sahabat lain. Saya terbelenggu oleh kemalasan sendiri.
Memang benar semuanya di atas kehendak Allah. Tapi hikmah kejadian Allah sertakan di mana saja.
Bangkit dari selimut untuk membuktikan cinta kepada Allah bukanlah satu perkara yang ringan dan mudah. Cinta kepada Allah semahal kurniaan Dia yang lainnya.
Orang bercinta akan berkorban itu ini untuk cinta hatinya. Semakin risau apabila merasakan diri ini tidak sanggup mengorbankan kehangatan dibawah selimut demi hangatnya cinta kepada Allah.
Mengapa saya boleh kehilangan cinta itu? Saya sudah berkali-kali memilikinya.
Sudah pastinya kerana kealpaan diri sendiri. Itu saja jawapannya. Kelalaian diri yang mengewap rahmat yang pernah bertapak di hati. Begitulah terkaan sang iman.
Rasa cinta kepada Illahi seterusnya lenyap tanpa disedari, lantas membatasi segala amalan-amalan mahmudah dari terlaksana sempurna.
Bermacam-macam kemungkinan boleh menjadi asbabnya. Timbul persoalan mengenai hubungan dengan orang tua saya di kampung.
Mungkin kerana itu.
Setelah meneliti, saya menjadikan buku fikh Birrul walidaini karya Mustofa al Adawi sebagai sasaran untuk menyemai semula rasa tanggungjawab sebagai seorang anak. Satu rasa yang hilang.
Alhamdulillah. Tepat sekali jangkaan saya yang dianugerahkan dari Allah. Memang kerana hubungan dengan ibu bapa. Kesempurnaan cinta kepada ibu bapa jatuh nombor dua setelah ketaatan kepada Allah. Itulah yang tercatat dalam kitab Indonesia tersebut.
Sebenarnya berkali-kali Allah mengingatkan saya melalui firmanNya :
Allah mengambil perjanjian dengan bani Israel terhadap isu ini.(Quran 2 : 83)
Luqmaanul Haqim sang wali mewasiatkan anak-anaknya tentang isu yang sama.(Quran 31 : 13-15)
Nabi Yahya dan Nabi ‘Isa a.s juga dimuliakan juga kerana isu tersebut. (Quran 19:14, 30-32)
Tidak termasuk lagi hadis-hadis dari nabi saw yang mengukuhkan kenyataan ini.
Sebenarnya saya sudah beberapa kali di tegur oleh Allah supaya lekas-lekas memperbaiki hubungan yang semakin hambar ini.
Bayangkan, tiba-tiba sahaja sahabat saya mengingatkan supaya tidak melupakan ibu dan ayah. Rakan saya juga menyatakannya. Sedangkan sebelum ini tidak pernah mereka mengingatkan sedemikian rupa. Menjadi Abdul Pelik ibnul Hairan.
Ulser juga muncul di celahan gusi, sebagaimana kebiasaannya ; apabila saja ingatan kepada ibu ayah kian pudar.
Malah kalangan lagu saya juga mengingatkan!
"Redha Allah bergantung kepada Redha kedua ibu bapa," . Begitu bicara sang 'alim.
Cukup berkesan buku itu, Alhamdulillah. Walau bacaan setakat halaman 28, saya sudah cukup sedar akan kekhilafan. Terimakasih ya Allah, untuk peluang dan hidayah mu. Sumpah aku akan berubah!
MAK, TUNGGU DAUS CALL YA!
No comments:
Post a Comment